KNOWLEDGE IS POWER

Sunday, 12 November 2017

SISTEM KEHAKIMAN

KNOWLEDGE IS POWER


Mahkamah Atasan

a. Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia. Mahkamah Persekutuan boleh membicarakan semua rayuan kes sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan jika Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran untuk berbuat demikian. Mahkamah ini juga membicarakan rayuan-rayuan kes jenayah daripada Mahkamah Rayuan yang berkait dengan kes yang dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi dalam bidang kuasa aslinya, iaitu kes-kes yang bukan dirayu berdasarkan keputusan Mahkamah-mahkamah Bawahan.


b.Mahkamah Rayuan
Mahkamah Rayuan umumnya membicarakan semua kes rayuan sivil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, kecuali perintah atau keputusan mahkamah yang dibuat melalui persetujuan. Untuk kes-kes yang melibatkan:
• tuntutan melebihi RM250 000
• keputusan mahkamah atau perintah yang berkait dengan kos sahaja;
• rayuan yang berkenaan dengan keputusan hakim dalam kamar bicara terhadap saman interplider tentang fakta-fakta yang tidak dipertikaikan;
kebenaran Mahkamah Rayuan harus diperoleh lebih dahulu.
Mahkamah Rayuan juga membicarakan rayuan-rayuan keputusan kes jenayah Mahkamah Tinggi.

c.Mahkamah Tinggi
Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa penyeliaan dan pengubahan keputusan semua Mahkamah Bawahan, serta juga bidang kuasa untuk membicarakan semua rayuan daripada Mahkamah Bawahan, baik kes sivil mahupun kes jenayah.
Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa sivil yang tidak terhad, selain daripada kes-kes yang melibatkan kemalangan kenderaan bermotor, penderitaan, dan pertikaian antara tuan rumah dan penyewa. Mahkamah ini juga membicarakan kes-kes yang berkait dengan:
• kesahan atau pembubaran perkahwinan (perceraian) dan perkara-perkara suami isteri;
• kemuflisan dan perkara-perkara berkait dengan penggulungan syarikat;
• penjagaan kanak-kanak;
• pemberian kenyataan sah wasiat, wasiat, dan surat kuasa mentadbir estet;
• injunksi, pelaksanaan tertentu (specific performance), atau pembatalan kontrak;
• kesahan individu.
Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang tidak terhad terhadap semua kes jenayah selain daripada perkara-perkara yang melibatkan undang-undang Islam.
Kes-kes dibicarakan oleh seorang hakim yang tunggal di dalam Mahkamah Tinggi, atau oleh seorang pesuruhjaya kehakiman. Sedangkan hakim-hakim Mahkamah Tinggi diberikan perlindungan jawatan (sila lihat Krisis Perlembagaan Malaysia 1988), para pesuruhjaya kehakiman dilantik untuk penggal dua tahun dan tidak menerima perlindungan yang sama di bawah Perlembagaan.

Mahkamah Bawahan

Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kedua-dua kes jenayah dan sivil.

a.Mahkamah Sesyen
Agak serupa dengan Mahkamah Sesyen Suku di England, Mahkamah Sesyen Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kesalahan-kesalahan yang tidak melibatkan hukuman mati. Mahkamah-mahkamah ini dipengerusikan oleh hakim-hakim Mahkamah Sesyen (dahulunya Presiden Mahkamah Sesyen).
Mahkamah Sesyen juga membicarakan semua kes sivil yang tuntutannya tidak melebihi RM1 juta, kecuali kes-kes yang melibatkan kemalangan kenderaan bermotor, penderitaan, dan kes-kes antara tuan rumah dan penyewa yang mahkamah ini mempunyai bidang kuasa yang tidak terhad.

b.Mahkamah Majistret
Para majistret terbahagi kepada Majistret Kelas Pertama dan Kelas Kedua, dengan Majistret Kelas Pertama mempunyai kelayakan yang sah serta kuasa yang lebih besar. Majistret Kelas Kedua kini biasanya tidak dilantik.
Mahkamah Majistret membicarakan semua kes sivil yang tuntutannya tidak melebihi RM100 000. Mahkamah Majistret Kelas Pertama umumnya mempunyai kuasa untuk membicarakan semua kesalahan jenayah yang hukumannya tidak melebihi 10 tahun atau yang melibatkan hukuman denda sahaja, tetapi boleh mengenakan hukuman yang tidak melebihi lima tahun pemenjaraan, denda sehingga RM10,000 dan/atau hukuman merotan sebanyak 12 kali.
Mahkamah Majistret juga membicarakan rayuan-rayuan daripada Mahkamah Penghulu.

   Mahkamah Majistret Kelas I

Peranan
- Membincangkan kes-kes jenayah dan sivil
- Kes jenayah melibatkan  hukuman penjara dan hukuman denda
- Hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah ini ialah lima tahun penjara dan denda RM10,000,sebatan 12 kali atau ketiga-tiganya sekali. Walau bagaimanapun,hukuman yang lebih tinggi akan dikenakan sekiranya membicarakan kes-kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,Akta Kastam 1957 dan Akta Keseksaan 1953.

  Mahkamah Majistret Kelas II

Peranan
-Kes jenayah,iaitu hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah ini ialah tidak melebihi 12 bulan penjara dan denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
-Kes sivil,iaitu nilai kes tuntutan tidak melebihi RM3,000



c.Mahkamah lain
Mahkamah Penghulu mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua kes sivil yang tuntutannya tidak melebihi RM50, jika pihak-pihak yang berkenaan berbangsa Asia dan memahami bahasa Melayu.
Bidang kuasa jenayah terhad kepada kesalahan-kesalahan kecil yang dituduh terhadap seorang berbangsa Asia yang ditetapkan khas dalam warannya yang hukuman denda tidak melebihi RM25.
Mahkamah Penghulu tidak wujud di Sabah dan Sarawak, sebaliknya kedua-dua negeri ini mempunyai Mahkamah Orang Asli yang mempunyai bidang kuasa terhadap semua perkara-perkara awam yang berkenaan dengan adat dan undang-undang orang asli.
Terdapat juga Mahkamah Juvenil untuk kes-kes yang melibatkan orang-orang bawah umur.

d.Mahkamah Syariah
Rencana utama: Mahkamah Syariah di Malaysia
Terdapat sebuah sistem selari Mahkamah Syariah negeri yang mempunyai bidang kuasa yang terhad terhadap undang-undang Islam (syariah) negeri. Mahkamah-mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap perkara-perkara yang melibatkan orang Islam, dan umumnya tidak boleh mengenakan hukuman melebihi tiga tahun pemenjaraan, denda melebihi RM5,000, dan/atau hukuman merotan melebihi enam kali.

No comments:

Post a Comment